Info

Wanita m4ut, kereta dlhempap Iori simen ketika menunggu lampu isyarat

KOTA BHARU – Kecuaian seorang pemandu lori simen yang tidak memastikan breknya berfungsi dengan baik membawa padah apabila kenderaan berat itu menghempap kereta yang dipandu seorang wanita semasa berhenti di simpang empat lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 4.10 petang itu menyebabkan Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kakinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki memandu sebuah lori muatan simen sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Sri Cemerlang sebelum mendapati brek kenderaannya tidak berfungsi.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori berkenaan mengambil keputusan menukar laluan dan membelok ke kiri menghala ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapan.

“Semasa membelok ke kiri, lori itu dipercayai terbalik sebelum menghempap kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat di arah bertentangan dengan kenderaan berat tersebut.

“Kemalangan itu mengakibatkan wanita tersepit di dalam kereta sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Suhaimi, sebuah kereta jenis Honda Civic yang berada di belakang kereta mangsa turut dihempap lori itu, namun pemandunya yang merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, siasatan awal mendapati, kemalangan itu disyaki berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang gagal memastikan fungsi brek kenderaannya selamat.

Mohd. Suhaimi memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu mendapati dia negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.12 petang sebelum 15 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati sebuah lori menghempap sebuah kereta dan muatan simen yang dibawa kenderaan berat itu tumpah dan memenuhi kereta yang dipandu seorang wanita.

“Operasi sedikit sukar kerana keadaan bumbung kereta yang kemek dan mangsa tersepit ditambah dengan muatan simen yang turut tumpah atas mangsa.

“Kami menggunakan peralatan jenis pemotong hidraulik serta beg udara untuk mengeluarkan mangsa dan masa yang diambil untuk operasi itu adalah selama setengah jam dengan bantuan kren,” katanya.

Sumber : ondeondepetang

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.